Hukuman berat membendung gejala buang bayi

Mendepani realiti dunia baru yang pantas berubah dan berkembang, masalah pembuangan bayi di negara kita semakin berleluasa. Fenomena ini bukanlah satu isu yang baru. Isu ini juga merupakan isu sejagat. Saban hari, media sering melaporkan masalah pembuangan bayi di dalam tandas,tepi longkang dan lain-lain tempat tanpa wujudnya perasaan kasih dan ianya di luar batas kemanusiaan. Amat memilukan, kemelut ini seolah-olah tiada kesudahan. Di manakah silapnya? Siapakah yang harus dipersalahkan sehingga tergamak melakukan perbuatan tersebut? Lebih mengejutkan, tiga hari selepas kempen Kami Prihatin disusun dan digagaskan bagi mencetuskan kesedaran masyarakat mengenai gejala dera kanak-kanak dan buang bayi dilancarkan, masih jua berlaku masalah pembuangan bayi dan dikatakan meningkat dari masa ke masa. Mengapa hal ini sukar untuk dikekang?Hukuman berat wajar dikenakan untuk membendung gejala pembuangan bayi. Sebagai umat Islam, perbuatan zina itu adalah dilaknat, dibenci dan dilarang oleh Allah. Dijelaskan lagi sebagaimana di dalam firmanNya, surah Al-Isra (17) ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk”.
Terdapat pelbagai punca yang boleh dikaitkan dengan isu berlakunya gejala pembuangan bayi yang semakin serius dibicarakan. Keruntuhan institusi kekeluargaan merupakan faktor yang menjurus kepada permasalahan ini dari terus memuncak. Ibu bapa dewasa ini dikatakan lebih mengamalkan budaya dan corak hidup moden dan terlalu mementingkan kerjaya sehingga mengabaikan anak-anak di rumah.. Pengaruh rumah tangga memberi kesan ke atas pembentukan personaliti anak-anak khususnya apabila mereka meningkat remaja. Anak-anak sangat mendahagakan kasih sayang dan perhatian dari ibubapa. Konflik yang wujud dalam keluarga menendang keluar remaja untuk mencari tempat dan rakan yang boleh membantu mengatasi keadaan hidup dan pada masa yang sama memenuhi keperluan kewangan, hiburan dan perkembangan emosi mereka. Tanpa pengawasan, anak-anak menjadi liberal, bersikap kurang ajar dan merencana kehidupan mengikut kehendak hati. Oleh itu, perhatian dan kasih sayang perlu diberikan secukupnya supaya anak-anak tidak mudah terjebak dalam aktiviti yang kurang sihat sekaligus mengundang kepada masalah pembuangan bayi.
Kita tidak boleh membuat tuduhan atau menuding jari kepada satu-satu pihak kerana menyebabkan isu pembuangan bayi semakin menjadi-jadi, sebaliknya melihat punca tersebut daripada pelbagai aspek. Dengan adanya kemunculan media masa seperti televisen serta majalah juga akan menyebabkan berlakunya masalah ini dengan lebih drastik lagi. Sebagai contoh, Setiap cerita atau aksi yang dipaparkan di kaca-kaca televisen serta majalah juga akan menimbulkan rasa keinginan untuk mencuba oleh golongan muda ini. Seperti yang diketahui, remaja mempunyai sifat ingin mencuba sesuatu yang baru . Mereka akan lebih ingin untuk mencuba terhadap apa yang telah dipertontonkn oleh mereka. Oleh itu, media massa haruslah mendedahkan akibat yang ketara jika kita melakukan tindakan di luar batasan ini. Slot-slot drama yang mempunyai unsur cinta dan pergaulan bebas perlu diselitkan dengan nasihat-nasihat pakar yang memberi komen kepada penonton.
Pelbagai langkah harus diambil untuk mengatasi masalah pembuangan bayi dari terus menguasai persada pentas masalah sosial di negara kita. Antaranya ialah hukuman berat. Hukuman berat haruslah dikenakan kepada pesalah tanpa mengambil kira sama ada mereka dibawah umur ataupun tidak. Sekiranya pesalah terbabit di bawah umur, mereka hendaklah ditempatkan ke pusat juvana. Tambahan lagi, hukuman ke atas kedua-dua pihak yang terlibat dalam perlakuan sumbang sehingga menjurus ke arah penzinaan harus dikenakan hukuman yang sama dan setimpal dengan apa yang mereka lakukan. Hukuman seperti sebat adalah yang terbaik bagi memberi pengajaran kepada mereka. Namun, sejauh manakah keberkesanan hukuman ini? Hal ini demikian kerana dengan cara ini, mereka mungkin akan berasa serik untuk mengulangi perbuatan tersebut, mungkin juga tidak.
Justeru, dalam kes pembuangan bayi, pelbagai pendekatan boleh diambil untuk mengekang masalah ini dari terus menjadi isu hangat. Menerapkan pendidikan seks sejak kecil amatlah wajar dipraktikkan. Penerapan mengenai seks boleh diterapkan di rumah oleh ibu bapa dan di sekolah melalui pendidikan seks. Kita tidak mahu melihat bayi dibuang seperti sampah oleh anak-anak muda kita. Pendidikan yang menekankan kesucian hubungan lelaki dan perempuan perlu didedahkan sejak kecil di samping pencegahan daripada institusi agama dan budaya masyarakat. Pendidikan mengenai seks sepatutnya diguna pakai untuk menjadi pengajaran kepada segenap lapisan masyarakat supaya tidak sewenang wenangnya membuang bayi kerana ingin menutup aib.
Gejala pembuangan bayi ini sudah semestinya memberikan kesan yang buruk, baik daripada segi fizikal mahupun daripada segi mental. Apabila seseorang telah membuang bayi hasil daripada hubungan luar nikah, ibubapa kepada bayi tersebut secara automatiknya telah melakukan dosa yang besar. Hal ini kerana pasangan yang melakukan hubungan seks tanpa ada ikatan yang sah, mereka sememangnya telah melakukan dosa kerana zina merupakan perbuatan yang salah di sisi agama. Apabila bayi yang dilahirkan hasil daripada hubungan luar nikah dibuang, perbuatan ini sekaligus telah menambah dosa mereka yang telah sedia ada. Oleh itu, disebabkan perlakuan zina ini memberi kesan buruk dan impak yang besar pada masyarakat, maka hukuman berat serta setimpal wajar dikenakan terhadap pelakunya supaya ia dapat membendung gejala ini daripada terus menjadi satu masalah yang teruk dalam negara kita. Peruntukan undang-undang juga mampu membendung gejala pembuangan bayi agar bayi yang tidak berdosa boleh mengenal erti kehidupan di dunia. Hukuman berat ini haruslah dikenakan kepada pesalah tanpa mengambil kira sama ada dibawah umur ataupun tidak. Jika pesalah terbabit di bawah umur, maka hendaklah dibawa ke pusat juvana. Tambahan lagi, bapa kepada bayi tersebut mestilah dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang sama sepertimana yang dikenakan oleh ibu bayi.
Kesimpulannya, sememangnya anak adalah satu anugerah dari yang Maha Pencipta dan tidak ternilai harganya. Namun, cara kita mendapatkannya mestilah melalui saluran yang betul. Fenomena kepada gejala pembuangan bayi ini semakin meningkat dari semasa ke semasa dan dikhuatiri menjadi wabak penyakit kepada negara. Tindakan undang-undang yang lebih efisien harus diambil terhadap mereka yang terbabit dengan zina kerana impaknya sangat buruk kepada semua golongan sehingga mengundang kepada permasalahan buang bayi. Kita tidak mahu anak muda kita terpinggir dan terbelakang dalam mengejar arus kemodenan yang semakin mencabar. Maka, semua pihak haruslah memainkan peranan yang penting bagi memastikan generasi muda kita hidup kearah yang berdaya saing dari segi pendidikan, pemikiran yang positif serta semua aspek kehidupan. Hal ini demikian kerana golongan remaja merupakan pemangkin yang akan mentadbir negara ini dan merupakan tunggak utama kepada negara dalam menjayakan Wawasan 2020.



Comments
Post a Comment